LAIN-LAIN
Sukan SEA Thailand: Skuad perahu naga negara optimis hadirkan kilauan emas
Kurang daripada 12 bulan lagi sebelum bermulanya temasya Sukan SEA Thailand 2025 dengan skuad Perahu Naga negara mendapat tonik positif selepas penganjur bertindak menambah dua lagi acara dalam saingan kategori lelaki.
Ironinya, kedua-dua acara itu antara yang berjaya menyumbang pingat di Sukan SEA Kemboja tempoh hari dengan perkara itu sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada pasukan negara, sebaik penganjur bertindak menambah dua acara lagi iaitu small boat lelaki 200 meter dan 500 meter.
Ini seperti perubahan positif apabila pasukan negara mahir dengan bot lebih kecil, lebih-lebih lagi mereka sebelum ini berjaya mendapatkan pingat perak dan juga gangsa di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.
"Memandangkan acara perahu naga di Sukan SEA Thailand ditukarkan daripada acara bot 20 kepada bot 10 dalam kategori 500m dan 200m, memberikan peluang buat pasukan negara fokus dalam acara yang kita mahir iaitu bot 10.
"Ini kerana ada pencapaian di Sukan SEA Kemboja dan tahun ini di Filipina," kata Azfaruddin Lukman.
Sementara itu, seorang lagi atlet perahu naga negara, Adib Kamaruzrizan, menyifatkan persiapan mereka ketika ini tidak terlalu intensif buat pasukan perahu naga kebangsaan.
Semuanya dijangka berubah dan mereka bakal kembali berlatih bersama sebaik selesai sahaja AGM Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) yang dijangkakan berlangsung awal tahun depan.
"Perubahan ini memberikan peluang buat negara merangkul pingat emas, setiap atlet sedang membuat persiapan di negeri masing-masing. Kami belajar aspek asas semula daripada segi teknik dan kekuatan daripada aspek kayuhan." ujarnya.