KARATE

Sukan SEA Thailand: Skuad karate belum ada calon konkrit tampung kehilangan Arif Afifuddin

Shaiful Shamsudin 04/02/2025 | 11:21 MYT
Kekosongan slot bagi kategori karate kumite 84 kilogram yang ditinggalkan penyandang juara Sukan Asia 2022, Arif Afifuddin Malik, terus menjadi tanda tanya.
Apakah bakal ada pengganti yang akan menggalas tugas besar kategori heavyweight terutama menjelang Sukan SEA Thailand, Disember depan selepas Arif menghadiahkan pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou, tiga tahun lalu.
Sedar akan situasi itu, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) giat menjalankan proses penilaian calon terbaik untuk mengisi posisi tersebut sambil menjadikan Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara sebagai pentas untuk menilai barisan pelapis muda dalam tempoh singkat.
Detik hitam menghantui atlet berasal dari Pulau Pinang itu selepas mengalami kemalangan jalan raya hingga menyebabkan mengakibatkan kecederaan patah tulang fibula kanan dan buku lali terkehel.
Arif Afifuddin kini menjalani proses pembedahan tulang fibula dan menunggu tempoh dalam masa sebulan untuk proses pembedahan lutut 'anterior cruciate ligament (ACL).
"Kami mempunyai calon atlet senior daripada kategori 55kg, 60kg dan 67kg.
"Buat masa ini prestasi beberapa atlet di bawah 21 tahun juga sedang nilai," kata jurulatih podium kebangsaan, L Kunasilan. di Nadi Arena sebentar tadi.
Namun, dengan mentaliti dan semangat juara yang tertanam dalam diri, pihak persatuan optimis dengan kemampuannya untuk melakukan kebangkitan tahun depan sebaik tamat sesi rawatan dan pemulihan.
"Dia perlu menjalani pemulihan selama setahun, setiap hari dia perlu melakukan sesinya selama enam jam untuk kembali.
"Segalanya terpulang kepada Arif -- selepas pembedahan dan pemulihan -- untuk kembali bersukan," katanya lagi.
#karate #Sukan Sea Thailand