TENIS
Sukan SEA: Skuad tenis sudah sedia
Skuad tenis negara sudah 90 peratus bersedia bukan sahaja menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tetapi lebih penting mencipta legasi tersendiri.
Tanya sahaja pemain mahupun jurulatih mengenai sasaran mereka dalam temasya KL2017, sudah pasti ia bukan sekadar menghadiahkan pingat gangsa.
Perincian kepada acara beregu wanita, Jawairiah Nordin-S. Theivia, dan lelaki Assri Merzuki-Syed Agil Syed Naquib, bukan sahaja pada persiapan fizikal dan taktikal.
Iklan
Tetapi peluang mengubah landskap suram sukan ini di dalam bayangan badminton dan skuasy menerusi emas Sukan SEA.
"Kali terakhir kami memenangi emas pada 1973 dalam acara beregu wanita. Saya berharap pemain-pemain membuat kejutan beraksi di laman sendiri.
"Walaupun realitinya lawan Malaysia yang hadir memiliki pengalaman yang luas, saya optimis kejayaan mampu dicapai," kata jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal.
Baki 10 peratus persiapan menjelang kempen KL2017 akan dicari ketika saingan Terbuka Kuala Lumpur yang akan berlangsung sepanjang minggu ini yang turut berfungsi sebagai kejohanan Pra-Sukan SEA.
"Terbuka KL merupakan kejohanan terakhir sebelum menghadapi Sukan SEA, saya mengharapkan yang terbaik dan memberikan tumpuan kepada acara beregu. Terdapat pemain-pemain luar yang turut hadir seperti Singapura, Kemboja, dan Vietnam."
Must-Watch Video