PETANQUE
Sukan SEA: Skuad petanque negara tidak perlu ke luar negara
"Tidak perlu ke luar negara untuk pertahankan pingat emas Sukan SEA," itu nada keyakinan Muhd Hafizuddin Mat Daud yang percaya percaturan jurulatihnya mampu memastikan atlet petanque negara itu cukup sekadar menjalani sesi latihan dan kejohanan di Malaysia.
Sebelum ini, ketua jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed, membuat keputusan tidak akan menghantar Hafizudin ke mana-mana kejohanan luar negara menjelang Sukan SEA.
Kini, barisan atlet bagi acara beregu berada di Belgium untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Dunia bermula 11 April lalu sehingga 20 April ini.
Hafizudin yang dikecualikan daripada kejohanan itu tidak kekok menjalani latihan secara bersendirian terlebih dahulu, dengan menyifatkan percaturan Zani sama sewaktu persiapan Sukan SEA 2015 di Singapura yang menyaksikan dirinya tetap berjaya meraih pingat emas buat negara.
"Jurulatih tidak mahu atlet-atlet luar negara untuk melihat gaya permainan saya dan memberitahu kepada saya untuk terus berlatih di dalam negara," kata Hafizuddin.
Selepas ini, dia dan atlet lain hanya akan berdepan kejohanan pra Sukan SEA di Kuala Kumpur pada 19 Mei depan sebelum fokus kepada latihan intensif sehinggalah temasya bermula pada Ogos depan.