Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, yang memberi indikasi awal akan memperkasakan program sukan hoki 5 sepasukan (52) menuju misi enam kilauan pingat emas dalam Sukan SEA 2025.

Tuan rumah temasya dwi-tahunan itu, Thailand, baru mengesahkan acara tersebut akan dipertandingkan sekali gus memberi peluang buat kontinjen negara menambah koleksi emas di samping hoki padang dan hoki dalam dewan.

Atas dasar itu, barisan kejurulatihan skuad hoki 5s negara itu sudah mula merangka persiapan awal yang merangkumi kem latihan di Eropah -- benua yang paling kompetitif untuk sukan yang semakin mendapat tempat berkenaan.

"Perkembangan yang sangat positif. Peruntukan sangat penting dalam sukan.

"Dengan keputusan yang memuaskan, kami mendapat pulangan dalam bentuk kewangan adalah positif.




"Kalau pemain dapat kembangkan pengalaman maka Eropah dan negara Ocenia seperti Australia adalah yang terbaik," kata pengurus skuad 5s, Sukri Mutalib.

Menerusi perkembangan terbaru ini, secara tidak langsung, penstrukturan semula skuad dijangka berlaku dengan pemilihan pemain merangkumi kelompok utama dan bukan hanya melibatkan pemain simpanan daripada skuad senior hoki padang.

"Ini adalah pelantar terbaru kami untuk meraih pingat selain pasukan padang dan di dalam dewan. Dengan adanya pasukan 5s ini, kami mampu memastikan enam pingat emas Sukan SEA dalam sasaran.

"Sekiranya diserap dalam program, pemain dapat menjalani latihan sepenuh masa, seterusnya memberi fokus penuh sebab sebelum ini ada kegusaran mengenai isu pendapatan," kata ketua jurulatih wanita, Nabil Fiqri Noor.