SUKAN LAIN
Sukan SEA: Skuad bola keranjang wanita yakin pertahan emas
Jurulatih skuad bola keranjang wanita kebangsaan, Yoong Sze Yuin, optimis barisan negara akan berada di tahap terbaik untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini, dalam misi mempertahankan pingat emas di Singapura, dua tahun lalu.
Keyakinan Sze Yuin adalah berlandaskan semangat tinggi yang dipamerkan pemain negara dalam aksi persahabatan dan juga latihan sejak tahun lalu.
Sze Yuin kini mempunyai senarai 18 pemain dalam skuad negara, dengan 10 pemain beraksi dalam skuad yang meraih emas di Singapura.
Skuad negara akan menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan di Australia dan Jepun, bulan depan, sebelum Sze Yuin mengesahkan senarai akhir 12 pemain untuk menghadapi temasya dwi-tahunan itu.
"Semua pemain sangat bermotivasi dan bersemangat untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.
Nada keyakinan turut dilontarkan oleh kapten skuad negara, Nur Izzati Yaakob, yang percaya rakan sepasukan sedia mengerah segala kudrat bagi memastikan emas diraih di laman sendiri.
"Insya-Allah boleh tetapi buat masa sekarang persiapan kami masih di tahap 50 peratus. Kami perlu meningkatkan lagi permainan kami," katanya.