KL2017

Sukan SEA: Skuad bola jaring tidak sabar jumpa Thailand

Penulis Jemputan 09/08/2017 | 13:53 MYT
Skuad bola jaring negara tidak sabar untuk memulakan aksi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menentang Thailand pada 14 Ogos ini selepas berjaya menewaskan pasukan jiran itu dengan jurang mata yang besar ketika saingan Pra-Sukan SEA, bulan lalu.
Sebelum ini, mereka berjaya menundukkan cabaran Thailand 75-33 dalam saingan Pra-Sukan SEA, sekaligus mencetuskan semangat yang berkobar-kobar untuk mengulangi episod kemenangan itu apabila bertemu sekali lagi dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Bagi kapten, Nur Syafazliana Mohd Ali, dia dan rakan sepasukannya harus sentiasa fokus dan tidak boleh berasa selesa dengan prestasi semasa kerana sudah pasti lawan akan menampilkan aksi terbaik untuk membalas dendam.
“Dua minggu lepas, kami telah menewaskan Thailand dengan jumlah yang banyak tetapi kami akan terus memperbaiki teknik serta permainan kami bagi menghadapi perlawanan selepas ini,” katanya.
Dia yang baru dilantik sebagai ketua pasukan yang baru menyifatkan seteru utama, Singapura, pasti sudah bersedia untuk menghalang misi anak-anak buah Tracey Robinson untuk merampas pingat emas dalam edisi kali ini.
“Bagi saya, penyokong Malaysia sentiasa memberikan sokongan dengan bersungguh-sungguh dan itu sudah memadai buat kami,” tambahnya.
#Thailand #Sukan SEA 2017 #Bola Jaring #Nur Syafazliana Mohd Ali #Tracey Robinson
;