KL2017
Sukan SEA: Sivasangari ukur kemampuan dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia
Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2017 di New Zealand, Julai depan, merupakan sandaran utama pemain wanita negara, S. Sivasangari, sebagai sebahagian pentas untuknya mengadakan persiapan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Sivasangari antara yang menjadi harapan negara untuk meraih pingat emas dalam temasya itu selepas menampilkan prestasi positif setakat ini.
Sehubungan itu, pemain berusia 18 tahun itu ingin terus mempamerkan kecemerlangan dalam Kejohanan Remaja Dunia di mana pada edisi lalu, dia terkandas di peringkat separuh akhir.
Iklan
Menyifatkan ia kejohanan yang bertaraf tinggi, Sivasangari percaya jika dia mampu melakar kejayaan di New Zealand, tidak mustahil dia dapat mengulanginya dalam Sukan SEA di laman sendiri pula.
"Tahun ini, saya berharap dapat meraih pencapaian lebih besar dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia kerana ia bakal menjadi penyertaan terakhir saya di peringkat remaja.
"Ia bukan cabaran yang mudah dengan kehadiran enam pemain Mesir yang turut menyertai kejohanan itu.
"Saya berharap mampu beraksi cemerlang," katanya.
Bagaimanapun, bintang remaja negara itu tidak menolak agak tertekan dengan masa yang semakin suntuk untuk melakukan persiapan, apatah lagi bakal menduduki peperiksaan O Level, tidak lama lagi.
"Saya akan mengurangkan sesi latihan pada bulan depan kerana bakal menduduki peperiksaan O Level sebelum kembali fokus pada Jun."
Must-Watch Video