Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima perkhabaran gembira apabila permohonan untuk meletakkan atlet berbasikal lebuh raya dalam Kategori A menjelang Sukan SEA Vietnam pada Mei depan diterima Majlis Sukan Negara (MSN).

Misi utama skuad berbasikal lebuh raya dalam temasya itu adalah untuk membolot pingat emas dan dengan itu, ketua jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan, meletakkan perkara itu sebagai agenda utama tahun ini.

"Dalam berbasikal, kita perlu ada kerjasama kerana strategi amat penting," kata Joo Ngan seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Jika anda hebat tetapi anda melakukan strategi yang silap, kemudian anda bersaing sesama sendiri, orang lain yang akan menang walaupun anda cukup hebat.

"Saya fikir mereka telah melakukan banyak kesilapan sebelum ini, jadi mereka mungkin tidak akan megulanginya lagi.

"Pemilihan akan dilakukan dalam perlumbaan Jelajah Thailand dan Jelajah Terengganu, jadi kami akan melihat keputusan mereka terlebih dahulu.

"Ia tidak bermakna pelumba daripada pasukan luar (skuad kebangsaan) tidak boleh menyertai kami, mereka masih boleh menyertai kami asalkan mencapai standard yang diperlukan," katanya.