TENIS
Sukan SEA: Pingat perak sudah cukup bagus -- Agil
Barisan pemain tenis negara sedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk memberi saingan kuat dalam Sukan SEA yang bermula 19 Ogos ini.
Walaupun tiada harapan diletakkan buat sukan itu, pemain perseorangan utama, Syed Mohd Agil Syed Naguib, memandang positif cabaran yang disuarakan Khairy kepada skuad tenis negara.
Di atas kertas, cabaran kian sukar memandangkan negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina mempunyai peserta yang berada di ranking dunia lebih tinggi berbanding pemain negara.
Namun, Syed Mohd Agil berasa tidak mustahil untuk melakar kejutan di laman sendiri.
"Kalau kita mendapat pingat perak pun, ia adalah pencapaian yang baik kerana dua tahun lalu kita dapat gangsa.
"Kalau mahu dapatkan perak, peluangnya susah tetapi seperti Khairy cakap, semuanya boleh terjadi kalau beraksi lebih bagus," katanya.
Syed Mohd Agil turut mempamer aksi meyakinkan dalam saingan beregu lelaki, berpasangan dengan Merzuki Mohd Assri, apabila menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur, 30 Julai lalu.
Dalam pada itu, pemain wanita negara, Jawairaih Nordin, turut melontarkan nada keyakinan untuk menghadapi Sukan SEA.
Pemain Pulau Pinang itu akan hanya beraksi dalam saingan beregu wanita bergandingan bersama S. Theiviya.
"Gementar memang ada sebab beraksi di tempat sendiri tetapi saya pernah bermain dengan mereka (pasukan lawan).
"Ia mungkin kurang (gementar) kerana saya selalu tengok mereka bermain, seperti Thailand. Saya pun ada juga berkawan dengan mereka," katanya.
Sukan tenis yang menawarkan lima pingat emas akan berlangsung di Kompleks Tenis Jalan Duta, dari 21 hingga 26 Ogos.