SUKAN LAIN

Sukan SEA: Perubahan jadual akan beri kelebihan buat kontinjen negara

Astro Arena 25/04/2017 | 11:55 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, menegaskan pihaknya sudah membuat kajian mendalam sebelum mengubah jadual temasya yang dijangka memberi kelebihan besar untuk Malaysia muncul juara keseluruhan.
MASOC menggunakan sepenuhnya kelebihan sebagai penganjur Sukan SEA 2017.
Beberapa kajian sudah dibuat untuk mengenal pasti kelebihan kepada kontinjen negara, sama ada meraih emas sulung temasya dan lebih penting, muncul juara keseluruhan.
Ia juga selaras dengan perubahan tarikh temasya yang tamat sehari lebih awal pada 30 Ogos depan.
Justeru, MASOC memberi jaminan perubahan ini akan memberi kelebihan kepada kontinjen negara.
"Jadual yang baru ini berupaya memberikan peluang buat kontinjen Malaysia meraih pingat emas, sekaligus tidak menjejaskan persiapan mereka," kata Zolkples.
Berdasarkan perubahan terbaru, sepak takraw dan memanah masing-masing akan merebut dua emas pada 16 Ogos.
Memanah dilihat lebih berpeluang meraih emas menerusi acara compound individu lelaki dan wanita selepas mereka menyumbang empat daripada lima emas untuk Malaysia dalam Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.
Situasi ini mengubah prospek penyumbang emas sulung yang sebelum ini dijangka hadir menerusi acara renang berirama.
"Jadual ini telah disusun oleh MASOC, ia memiliki taktikal yang khas buat atlet-atlet Malaysia," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
MASOC dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengumumkan jadual temasya esok.
Terdahulu, mereka menghadiri majlis menandatangani tajaan syarikat makanan segera, McDonald's, sebagai restoran rasmi temasya.
;