Sukan SEA: Pemanah negara perlu cepat sesuaikan diri dengan venue

Penulis Jemputan
Julai 25, 2017 19:51 MYT
Skuad memanah negara berdepan cabaran tiupan angin kencang ketika menguji venue Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Walaupun venue acara memanah dibina berhampiran tempat latihan skuad negara, ia menjanjikan cabaran lebih sukar.
Ia kerana kawasan terbuka membuatkan pergerakan angin lebih kencang, sekali gus menyukarkan usaha membidik 10 mata.
Bagaimanapun, pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki, yakin skuad negara mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri di venue yang baru siap dibina itu.
"Tempat baru, anginnya lain. Kami jangka ia sama seperti tempat latihan (lama). Apabila biasa nanti, semuanya senang," katanya.
Pemanah recurve negara, Nur Alia Ghapar, berkata: "Setakat ini, ia boleh diuruskan lagi tetapi tidak tahulah sebab kalau nak hujan, anginnya agak kuat daripada biasa. Kami perlu pandai sesuaikan diri."
"Dalam pertandingan, kami tidak boleh beri alasan angin kuat atau tidak. Sebab di luar negara pun, kami pernah cuba bermain dalam situasi angin kuat, contohnya di Taiwan. Jadi, kami mesti membiasakan diri dengan angin," kata seorang lagi pemanah recurve, Loke Shin Hui.
Memanah menawarkan 10 pingat emas dalam Sukan SEA bulan depan, dengan Malaysia menyasarkan empat emas dalam sukan itu.
Dalam edisi di Singapura dua tahun lalu, Malaysia meraih empat emas.
#memanah #Sukan SEA #Mohd Juwaidi Mazuki #Loke Shin Hui #Nur Alia Ghapar
;