SUKAN SEA
Sukan SEA: NAAM sudah miliki senarai atlet ke Manila
Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) optimis dapat meyakinkan barisan panel menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan kesemua 16 atlet ke Sukan SEA Filipina 2019 November depan di bawah tiket kategori A.
NAAM sudah pun melaksanakan pemilihan atlet secara dalaman sambil tidak banyak perubahan drastik melainkan penyenaraian semula M. Khambeswaran bagi menggantikan Lee Kin Lip dalam acara compound lelaki.
Kin Lip pernah membarisi skuad negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan meraih emas acara berpasukan bersama Juwaidi Marzuki dan Zulfadhli Ruslan.
Iklan
Prestasi sepanjang tahun ini juga menjadi taruhan NAAM untuk meyakinkan panel pemilih, terutama Khairul Anuar Mohamad yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain optimis dapat menyamai pencapaian lima emas di Filipina, hujung tahun ini.
"Semua atlet memanah berada dalam kategori A berdasarkan pencapaian dalam temasya Kuala Lumpur 2017.
"Jadi, saya berharap MOM dapat mengekalkan atlet-atlet kami dalam kategori ini," kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hassan.
Dalam masa sama, NAAM juga bersetuju dengan usul ketua jurulatih recurve para negara, Marzuki Zakaria, yang berhasrat menyelitkan anak buahnya, S. Suresh, ke dalam program di samping atlet normal bagi persiapan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Kami memohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa Suresh ke Tokyo tetapi pendaftaran atlet telah ditutup, jadi kami tidak dapat menghantarnya berlatih di sana," katanya lagi.
Must-Watch Video