Sukan SEA: MOM puas hati dengan venue luncur ais

Penulis Jemputan
Julai 17, 2017 17:22 MYT
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, berpuas hati dengan gelanggang luncur ais di Empire City walaupun masih banyak kerja pembinaan dijalankan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berbaki 33 hari lagi.
Atlit luncur ais diingatkan agar berhati-hati ketika memasuki Empire City untuk menjalani latihan serta ketika menyertai kejohanan.
Ini kerana terdapat banyak kerja pembinaan dijalankan di dalam dan luar bangunan yang mungkin mengundang risiko kemalangan.
"Segala pembinaan gelanggang luncur ais sudah siap tetapi terdapat beberapa perkara yang harus dipersiapkan seperti permukaan gelanggang ais yang perlu diratakan bagi melancarkan lagi kejohanan," kata Beng Choo.
Kejohanan Pra-Sukan SEA menyaksikan beberapa masalah perlu diperbaiki, terutama daripada aspek teknikal.
Begitu juga dengan permukaan ais yang belum cukup rata.
Namun, Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) sudah bertindak awal dengan melantik beberapa pakar sukan ini daripada Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU).
Mereka akan memantau kekurangan dan melakukan penambahbaikan terhadap acara yang dipertandingkan buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA.
#Malaysia #Sukan SEA #MOM #Empire City #Gelanggang Ais
;