SUKAN LAIN
Sukan SEA: MASOC tawar harga tiket berpatutan
Hanya serendah RM10 dan RM20, itu harga tiket yang ditawarkan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) kepada orang ramai yang mahu hadir menyaksikan temasya itu.
Harga yang ditetapkan oleh MASOC dilihat berpatutan, malah tidak semua jenis sukan dikenakan tiket masuk.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, orang ramai hanya perlu membeli tiket bagi 19 acara sementara baki acara lain dibenarkan masuk secara percuma.
Iklan
"Saya percaya dan yakin, setiap peminat sukan bersedia untuk membeli tiket. Lagipun harga yang kami tentukan ini amat berpatutan. Pusingan awal tiket berharga RM10 dan meningkat ke RM20 apabila memasuki final," katanya.
Dalam pada itu, Khairy menjelaskan sistem penjualan kali ini lebih selamat dengan setiap individu hanya dibenarkan membeli empat keping tiket.
Setiap pembelian akan disertakan kata kunci, terutama pembelian secara atas talian sebagai langkah mencegah penjualan tiket di pasaran gelap.
"Setiap transaksi hanya boleh membeli empat tiket supaya tidak ada pembelian secara pukal. Sama juga ketika membeli di kiosk.
"Setiap pembelian tiket perlu diisi butiran mereka supaya kita tahu siapa yang membeli tiket," tambahnya.
Sebanyak 19 sukan bersama dengan upacara perasmian dan penutup akan dikenakan tiket berharga antara RM10 hingga RM20. Untuk maklumat lanjut dan pembelian online, anda boleh layari www.Kualalumpur2017.com.my
Must-Watch Video