KL2017

Sukan SEA: MASOC sedia tambah tiket

Penulis Jemputan 11/07/2017 | 13:34 MYT
Penambahan tiket untuk beberapa acara dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini, akan dilakukan dalam masa terdekat selepas tiket bagi acara silat, bola keranjang dan akuatik kini habis dijual.
Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, menyifatkan penjualan tiket setakat ini amat memberangsangkan.
Selepas tiket bola jaring habis dijual dalam tempoh satu hari, pencak silat dan akuatik tidak ketinggalan menerima sambutan hebat.
Sehubungan itu, Zolkples berkata penambahan tiket, khususnya untuk penyokong tempatan, akan dibuat jika venue sesuatu acara itu masih lagi mampu untuk menampung penonton.
"Pihak kami sedang membuat kajian untuk menambah di venue-venue yang masih ada ruang tambahan. Contohnya, selepas penilaian di Stadium MABA untuk bola keranjang, ia tiada ruang lagi untuk tempat duduk.
"Tetapi di venue silat, ia berjaya menambah beberapa tempat duduk. Saya juga yakin (ada tambahan) di Stadium Juara untuk sukan bola jaring. Bagi venue yang besar kami tiada masalah," katanya.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat MASOC hari ini adalah pengecualian visa bagi negara seperti Myanmar di mana mereka hanya menggunakan kad akreditasi untuk memasuki negara ini.
"Kad akreditasi itu boleh digunakan sebagai visa sebab sebelum kami mengeluarkan kad itu, semua nama-nama telah diserahkan kepada Kementerian Kesalamatan Dalam Negeri untuk tujuan semakan," kata Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.
#Sukan SEA 2017 #Kuala Lumpur #Datuk Seri Zolkples Embong
;