SUKAN LAIN
Sukan SEA: Martin sedia kekal rekod baik Malaysia
Ketua jurulatih skuad renang negara yang baru, Chris Martin, sedia menjadi tulang belakang Malaysia dalam misi mengekalkan jumlah pingat yang didominasi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam edisi di Filipina, November depan.
Martin mengambil alih tugas Paul Birmingham, yang sudah 10 tahun berkhidmat dengan skuad negara.
Berbekalkan pengalaman selama 35 tahun sebagai jurulatih di Amerika Syarikat, United Kingdom dan China sebelum ini, dia mahu meningkatkan kualiti perenang negara ke tahap lebih tinggi.
"Sasaran utama saya adalah untuk meningkatkan prestasi setiap perenang dan melonjakkan mereka dalam kedudukan ranking.
"Apa sahaja kejayaan yang dilakar mereka sebelum ini, kami mahu menjadikannya lebih baik.
"Saya mahu Malaysia diiktiraf dunia sebagai sebuah gergasi sukan renang," katanya.
Martin turut bersedia untuk membentuk prestasi konsisten perenang negara bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu menyinar seperti penyandang pingat emas acara 200 meter dan 400 meter gaya bebas Sukan SEA, Welson Sim.
Dia berharap barisan atlet renang negara akan memberikan kerjasama yang baik dalam usahanya menjelang Sukan SEA Filipina.
"Sasaran saya pada masa depan adalah untuk menerapkan budaya yang baik dalam skuad renang Malaysia.
"Kami mahu mereka berasakan kerja keras yang dilakukan dalam sukan ini berbaloi dan apabila semua atlet berfikiran seperti itu, saya pasti sesuatu yang hebat akan berlaku," tambahnya.