KL2017
Sukan SEA: Marina akui atlet kita sedia sepenuhnya
Chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin, melahirkan keyakinan terhadap atlet negara berdasarkan semangat yang ditunjukkan menjelang temasya itu.
Marina berkata semangat yang tinggi itu sangat diperlukan untuk memburu sasaran 111 pingat emas bagi memastikan Malaysia menjadi juara keseluruhan.
"Saya dapat melihat semangat yang tinggi dipamerkan oleh atlet menantikan Sukan SEA, saya melihat mereka sudah bersedia sepenuhnya," katanya dalam temubual 'Di Ambang Sukan SEA' menerusi Astro Arena, malam ini.
Iklan
Sementara itu, Marina tidak menolak risiko kecederaan yang mungkin melanda atlet negara kerana ia bergantung kepada pelbagai situasi.
"Jika tiada kebimbangan, ia adalah sesuatu yang mustahil. Apa sahaja boleh berlaku dalam sukan, terutama sekali kecederaan.
"Saya berharap atlet-atlet memastikan berada di tahap terbaik dan cuba mengelak daripada melakukan apa-apa yang boleh mendatangkan kecederaan."
Sebagai ketua kontinjen, Marina menegaskan tanggungjawabnya adalah besar dengan melibatkan pelbagai aspek.
"Saya menerima sokongan keluarga, sekretariat yang mantap dan pihak pengurusan yang sangat baik.
"Saya telah dilantik sejak Oktober 2015, saya menyedari bahawa saya perlu berada di tahap kecergasan yang terbaik daripada segi fizikal. Selepas nama saya diumumkan, saya sudah bersedia menghadapi cabaran ini,
"Saya mengambil peranan sebagai ibu kepada atlet yang beraksi dalam Sukan SEA di mana mereka sentiasa boleh berbincang dengan saya jika menghadapi sebarang kesukaran," katanya.
Must-Watch Video