BOLA KERANJANG
Sukan SEA: Lepasi kumpulan maut terlebih dahulu
Pengendali skuad bola keranjang kebangsaan, Goh Cheng Huat, mahu barisan negara melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum memikirkan kilauan pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.
Menyedari skuad lelaki kebangsaan kemarau pingat Sukan SEA sejak temasya 2007 di Korat, Cheng Huat enggan memberi tekanan buat pemain apabila beraksi di laman sendiri.
Barisan negara berada dalam kumpulan sukar bersama pasukan pilihan, Filipina, Thailand dan Myanmar.
"Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak beban ke atas pemain.
"Kami menyasarkan pingat gangsa sahaja dan kami memberi tumpuan kepada satu per satu perlawanan memandangkan kami di dalam kumpulan maut.
"Kami perlu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum kita bercakap soal pingat," katanya.
Cheng Huat turut berpuas hati dengan prestasi pemain kelahiran Amerika Syarikat, Perry Lim, bersama skuad negara.
Namun, pengendali berpengalaman itu lebih mengharapkan aksi konsisten pemain secara berpasukan dalam kempen kali ini.
Cheng Huat turut berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam siri aksi persahabatan di New Zealand, baru-baru ini di mana tiga kemenangan berjaya diraih dalam enam perlawanan di sana.
"Perry beraksi dengan baik baru-baru ini tetapi semuanya berbalik kepada kerjasama berpasukan.
"Permainan bola keranjang bukan secara individu, ia mengenai kerjasama berpasukan.
"Persediaan dan pengalaman adalah lebih penting."