SUKAN SEA
Sukan SEA: Khairy bakal umum tarikh baru upacara penutup
Skuad terjun, ski ais serta angkat berat perlu bersedia menghadapi perubahan jadual pertandingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan mengumumkan tarikh baru upacara penutup temasya itu, esok.
Sukan SEA Kuala Lumpur mungkin tamat lebih awal berbanding jadual asal pada 31 Ogos depan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapatkan pandangan beberapa pihak mengenai tarikh hari kebangsaan selain umat Islam yang perlu bersiap-sedia menyambut Aidiladha pada 1 September.
Mesyuarat jawatankuasa pengelola akan berlangsung esok untuk menentukan adakah tarikh upacara penutup terpaksa diubah.
Iklan
"Ada pengumuman berkenaan dengan majlis penutup yang mana akan diumumkan esok.
"Kita akan menjelaskan beberapa perkara, antaranya daripada aspek kemudahan dan penginapan," jelas Khairy.
Sebanyak tujuh emas ditawarkan pada hari terakhir temasya itu.
Terdahulu, Khairy menghadiri majlis menandatangani tajaan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia Berhad, dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) sebagai penerbangan rasmi temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, turut menjelaskan bahawa mereka menanti pengumuman daripada pihak KBS.
"Kami juga menunggu pengumuman rasmi oleh KBS. Sekiranya ada perubahan, sudah tentu kami perlu melaksanakannya," katanya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong, melihat perubahan tersebut tidak akan menjejaskan kelancaran temasya itu.
"Ada tiga acara final tetapi jika ada perubahan, kita akan menganjakkan semua tarikh. Saya sudah melihat jadual pertandingan dan ia tidak akan melibatkan semua sukan," ujarnya.
Berbaki 130 hari sahaja lagi, Malaysia bakal menjadi tumpuan untuk Sukan SEA 2017.
Astro Arena selaku hos penyiar bakal menjanjikan liputan menyeluruh sepanjang berlangsungnya edisi ke-29 ini di dua saluran, iaitu 801 dan juga 802 HD.
Must-Watch Video