Sukan SEA: Kemenangan lonjak semangat skuad futsal wanita
Penulis Jemputan
Jun 20, 2017 19:14 MYT
Jun 20, 2017 19:14 MYT
Skuad futsal wanita negara mendapat tonik terbaik dalam persediaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan berdepan Hong Kong, semalam.
Skuad kendalian Muizzuddin Harris berada di landasan sebenar setakat ini apabila berjaya menewaskan Hong Kong, 5-3.
Aksi yang turut menjadi penilaian buat Muizzuddin dalam memilih 14 pemain terbaik Sukan SEA dimanfaatkan sebaiknya oleh anak buahnya dalam mempamerkan aksi konsisten.
Bagaimanapun, ini baru perlawanan persahabatan antarabangsa pertama untuk Malaysia di mana Muizzuddin menuntut anak buahnya dapat mempertajamkan lagi teknik hantaran yang lebih baik.
"Boleh dikatakan kemenangan ini adalah tonik terbaik dalam membentuk semangat sepasukan.
"Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama kami pada tahun ini.
"Pemain menggunakan sebaik mungkin peluang yang diberikan dan hasilnya, kami mencapai kemenangan," katanya.
Intan Sarah Anisah Zulgafli yang menjaringkan dua gol terakhir buat skuad negara wajar dipuji di samping dia mengharapkan mampu kekal dalam skuad untuk beraksi di pentas Sukan SEA buat kali pertama.
"Saya berharap apa yang saya ditunjukkan, saya dapat bersaing secara sihat dan mewakili negara," ujar bekas atlet olahraga itu.