HOKI
Sukan SEA Kemboja: Percaturan skuad lelaki hoki dalam dewan menjadi
THAILAND 3 MALAYSIA 5
Skuad negara terus mendominasi hoki dalam dewan dalam Sukan SEA Kemboja apabila mencipta kemenangan keempat berturut-turut menerusi kejayaan membenam Thailand 5-3, hari ini.
Ia menyaksikan Malaysia sedikit lega meskipun masih berbaki satu perlawanan berikutan slot final sudah terjamin tanpa mengira keputusan berdepan Indonesia, Sabtu ini.
Iklan
Thailand membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 menerusi Anuson Suyaram untuk memberi tekanan kepada Malaysia dalam perhitungan di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, hari ini.
Tetapi skuad kebangsaan tidak gentar sambil mencari ruang melancarkan percubaan untuk meledak gol menerusi Faridzul Afiq Mohd dalam suku kedua.
Malaysia terus menghukum Thailand dengan dua jaringan dihasilkan oleh Muhamad Izham Azhar dan Razali Mohd Hazemi untuk perlawanan kian hangat.
Malaysia sekali lagi menyumbat gol pada minit ke-26 tetapi ia belum mampu memadam semangat juang Thailand dalam suku terakhir.
Hasilnya, mereka melakar dua gol menerusi Warawut Anukoon.
Namun, Faridzul masih sempat menjaringkan satu gol pada minit ke-38 untuk keputusan kekal 5-3.
Perlawanan selebihnya menyaksikan Singapura membelasah Filipina 11-0 tapi apakan daya kerana keputusan tersebut tidak cukup untuk memperbaiki kedudukan mereka di peringkat kumpulan.
"Pemain telah menunjukkan aksi yang sebenar.
"Kami kena serang balas dan kami perlu perbaiki dan pertahankan situasi itu.
"Indonesia juga bagus dan mereka juga berlatih di luar negara. Mereka juga mungkin telah menimba ilmu baru.
"Begitu juga kami yang menuntut ilmu dari luar untuk diterjemahkan dalam perlawanan ini," kata ketua jurulatih lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim.
Must-Watch Video