SUKAN SEA
Sukan SEA Kemboja: Skuad terjun negara terus pamer dominasi
Penerjun negara, Enrique Maccartney Harold, berjaya memenangi pingat emas dalam acara platform lelaki sebentar tadi sekali gus menyaksikan negara terus mendominasi acara terjun di pentas Sukan SEA.
Enrique yang membuat penampilan pertama dalam temasya dwitahunan itu berjaya mengumpul 442.95 mata untuk meraih pingat emas ke-22 untuk kontinjen Malaysia.
Seorang lagi penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises, berjaya memenangi pingat perak dengan pungutan 384 mata dan pingat gangsa pula dimenangi penerjun dari Singapura, Max Lee Shen Oon, 362 mata.
Kejayaan Enrique itu melengkapkan kejayaan pasukan terjun kebangsaan untuk memenangi semua empat acara yang dipertandingkan dalam Sukan SEA di Kemboja kali ini.
"Ini merupakan kali pertama menyertai Sukan SEA dan mahu menikmati pengalaman ini. Sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik dalam setiap terjunan dan ia telah membuahkan pingat emas buat Malaysia," kata Enrique.
"Setiap darjah kesukaran terjunan saya tidaklah begitu tinggi, namun saya cuba melakukan dengan terbaik bagi memastikan pungutan mata yang tertinggi."
Secara keseluruhan, kontinjen terjun negara menyumbang empat pingat emas, dua pingat perak dan satu gangsa melepasi sasaran tiga pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa yang ditetapkan.
kredit: Sinar Harian