HOKI
Sukan SEA Kemboja: Skuad hoki dalam dewan wanita tewas kepada Thailand dalam penentuan emas
MALAYSIA 0 THAILAND 0
(Thailand menang penentuan shoot out 2-1)
Skuad hoki dalam dewan wanita negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi di Filipina pada 2019 apabila tewas penentuan shoot-out kepada Thailand dalam final Sukan SEA Kemboja 2023 di Rong Roeung Hall, Phnom Penh sebentar tadi.
Dengan reputasi sebagai juara bertahan, skuad negara mengungguli kedudukan peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah tetapi keputusan 0-0 ketika berdepan Thailand di peringkat itu pada Rabu lalu memberikan gambaran awal kesukaran yang akan dihadapi mereka dalam penentuan emas hari ini.
Dan gambaran itu benar-benar berlaku apabila pasukan bimbingan Mohammed Rodhanizam Mat Radzi itu tidak dapat merobek gawang lawan sepanjang 40 minit, sekali gus menyaksikan perlawanan itu terpaksa diheret ke penentuan shoot-out.
Malaysia akhirnya akur memenangi perak selepas tewas 1-2 dalam penentuan itu.
Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan negara sekadar membawa pulang dua pingat perak dalam edisi kali ini selepas pasukan lelaki juga tewas kepada Indonesia dalam aksi final lebih awal.