SUKAN LAIN
Sukan SEA Kemboja: Shalin, Sharon dilantik timbalan CDM
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli, dan bekas pemain skuasy negara, Sharon Wee, dilantik sebagai timbalan ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2023.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif Kali Ke-204 pada hari ini.
"Dengan atlet Sukan SEA (kali ini) akan terdiri daripada atlet muda yang juga penyertaan pertama mereka, Shalin dan Sharon akan membawa (memberi panduan kepada) atlet.
"Mereka memahami apakah kesusahan, cabaran dan rintangan (atlet). Mereka boleh bantu CDM, Datuk Mohd Nasir Ali, untuk membawa atlet-atlet tersebut," kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
MOM sedia memberi kelonggaran kelayakan kategori B untuk sukan tertentu yang mahu menghantar atlet senior masing-masing ke Sukan SEA.
Oktober lalu, MOM menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah boleh mewakili negara dalam kategori B, secara tidak langsung menyaksikan tiada atlet lebih umur akan terpilih ke Kemboja Mei depan tanpa melepasi had kelayakan A, iaitu kedudukan tiga terbaik di Asia Tenggara.
"Snuker dan biliard contohnya, ada pemain (yang berusia) 50 tahun lebih. Bukan mudah nak cari (peserta) dan akan bermula lambat.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Jadi pemain keempat (lebih usia) akan berada dalam pertimbangan kami.
"Tapi secara umumnya, kategori B ini mesti (terdiri daripada atlet) B-23," katanya lagi.
Seramai 799 atlet dan pegawai berada dalam senarai awal ke temasya dwi-tahunan itu dan ia merangkumi 367 atlet dan 143 pegawai yang memenuhi kriteria kelayakan A, manakala 227 atlet dan 62 pegawai berada dalam kategori B.