Sukan SEA Kemboja: Nur Aishah optimis peluang 4x100m
Shaiful Shamsudin
Mei 4, 2023 21:04 MYT
Mei 4, 2023 21:04 MYT
Pelari pecut negara, Nur Aishah Rofina Aling, yang menjadi bualan ramai selepas rentetan kejayaan skuad 4x100 meter wanita dalam Terbuka Singapura, minggu lalu berharap mampu membutirkan pingat Sukan SEA di Kemboja.
Kuartet Malaysia yang turut mempertaruhkan Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal mengungguli saingan itu menerusi catatan masa 45.70s mengatasi Singapura di kedudukan kedua 45.82s, manakala ketiga milik Thailand (46.06s).
Justeru, Nur Aishah menyifatkan keserasian yang dibina walaupun hanya melalui satu sesi latihan sebelum ke kejohanan tersebut sebagai positif sambil tidak menganggap ia satu bebanan untuk mengharumkan nama negara.
"Saya harus berterima kasih kepada rakan sepasukan yang memastikan jarak tidak berapa jauh dengan pesaing lain.
"Saya baru sekali berlatih dengan rakan sepasukan apabila tiba di Bukit Jalil sebaik Berhari Raya.
"Sebab itu agak kelam kabut ketika saya menerima baton daripada Nur Afrina," katanya.
Selain acara berganti-ganti, atlet dari Sabah itu juga bakal mengambil bahagian dalam acara 100 meter kali ini.
"Thailand merupakan juara edisi lalu jadi saya harap dapat berikan saingan kepada mereka selain menghadiahkan pingat buat negara," katanya lagi.