Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA Kemboja: Norliyana dalam persiapan terbaik biarpun belum cergas 100 peratus

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

norliyana-kamarudin.jpg
Atlet heptatlon senior negara, Norliyana Kamarudin, mendedahkan persiapannya menuju ke Sukan SEA Kemboja 2023 bermula Mei depan berjalan lancar biarpun masih bergelut untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaiknya.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu meletakkan sasaran untuk memperbaiki pencapaiannya meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA Vietnam 2021 selain turut menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara berkenaan.

Selain itu, Norliyana turut berharap dapat mewakili negara dalam acara lompat tinggi menjelang penampilan kelimanya dalam temasya itu.

Sebagai rekod, atlet berusia 32 tahun itu mewakili negara buat kali pertama dalam acara heptatlon menerusi Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017, di mana dia turut memecahkan rekod 36 tahun minit Zaiton Othman dengan catatan 5247 mata.

"Syukur Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, saya sudah ada perancangan sedikit demi sedikit," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Selepas ini akan puasa, kemudian raya, mungkin saya ada dua atau tiga bulan lagi, jadi persiapannya seperti biasa.

"Saya tidak terlalu cergas sebenarnya sebab saya masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan tetapi semuanya baik-baik sahaja, tiada apa yang menganggu.

"Kali ini sudah pasti saya mahu sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu (Sukan SEA Vietnam 2021). Kalau dapat pecah rekod lagi, Alhamdulillah, tetapi kalau dapat podium lebih baik.

"Tahun lalu saya ada memohon untuk menyertai acara heptatlon dan lompat tinggi tetapi mereka mahu saya tumpukan kepada heptatlon. Sebenarnya peluang saya untuk menang dalam acara lompat tinggi agak cerah juga.

"Kalau ada peluang dan rezeki, berdasarkan prestasi semasa dan kalau saya boleh meningkatkan prestasi saya, mungkin akan ada peluang untuk saya mendapatkan pingat," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video