Kontinjen Malaysia menambah bilangan pingat emas dalam saingan Sukan SEA Kemboja susulan kejayaan terindah atlet negara dalam acara final 'breakdance' yang berlangsung di Kompleks Sukan Stadium Nasional Olimpik sebentar tadi.

Penari breakdance negara, Sam Jee Lek atau lebih mesra dikenali sebagai 'Lego Sam' berada dalam kelas yang tersendiri di pentas Asia Tenggara sekali gus memenangi pingat emas mengatasi pencabar terdekat daripada dari Thailand, Kantapon Rodsaarat 3-0.

Rakan senegara Rodsaarat, Chinavut Chantarat, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan meraih pingat gangsa selepas mengatasi wakil dari Filipina, Yer Lord Ilyvm Losinio Gabriel 2-1.


“Bagi menghadapi Sukan SEA, saya memang berusaha keras sejak awal tahun dengan melakukan latihan demi mengharumkan nama Malaysia.

“Apa yang boleh saya katakan, semua persediaan sendiri tanpa pasukan yang lengkap namun terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang ada memberikan bantuan kewangan.

“Kemenangan ini saya tujukan kepada semua pihak yang banyak membantu terutamanya keluarga dan rakan yang sentiasa menyokong untuk pastikan sukan tari membawa pulang emas untuk negara,” katanya.