SUKAN LAIN
Sukan SEA Kemboja: Keen Hoo pastikan Malaysia terus kuasai acara snuker 6-Red
Moh Keen Hoo memastikan wakil negara terus menguasai acara snuker 6-red individu lelaki apabila memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja di Aeon 2 Sen Sok, Phnom Penh sebentar tadi.
Wakil negara itu muncul pemenang pingat emas selepas menewaskan peserta dari Laos, Sithideth Sabieng, 5-3 dalam aksi final itu, sekali gus mengekalkan pingat emas yang pernah dimenangi wakil negara terdahulu dalam dua edisi lalu.
Pemain berpengalaman itu pada awalnya berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 0-3 dalam tiga frame pertama dengan kekalahan 27-33, 9-27, 9-40 tetapi bangkit dalam lima frame berikutnya untuk muncul pemenang dengan kemenangan 36-4, 36-29, 47-0, 40-15 dan 39-8.
Sebagai rekod, Thor Chuan Leong memenangi pingat emas acara itu dalam edisi di Myanmar pada 2013 sebelum Lim Kok Leong mengulangi kejayaan sama di Vietnam tahun lalu.