Sukan SEA Kemboja: Indonesia serlah senario hoki dalam dewan Malaysia
Shaiful Shamsudin
Mei 8, 2023 14:41 MYT
Mei 8, 2023 14:41 MYT
Kejutan yang berlaku dalam skuad hoki dalam dewan umpama satu tuntutan kebangkitan buat semua pihak.
Ia merujuk kepada persediaan terlalu singkat iaitu hanya 27 hari sebelum berangkat ke Sukan SEA Kemboja berbanding Indonesia dan Thailand yang memiliki tempoh masa lebih lama mempersiapkan pasukan.
Ia juga menyedarkan kem negara yang terlalu selesa di kemuncak dan sukar disaingi mana-mana negara rantau ini.
Namun, kegagalan pasukan lelaki kebangsaan kepada Indonesia dalam penalti 'shoot out' di Dinosaur Park Hall, Phnom Penh, malam tadi merupakan satu tamparan yang cukup hebat.
Jika situasi ini dibiarkan berlarutan, nama gah Malaysia mungkin hanya akan tinggal kenangan sahaja selepas ini.
"Kalau berdasarkan perlawanan ini, kami yang pegang perlawanan.
"Mungkin detik lima minit terakhir memberi kesan kepada kami sebaik Indonesia mengeluarkan penjaga gol mereka.
"Di situ kalau kami bersedia lebih awal dan hidunya awal-awal lagi, mungkin boleh dielakkan berbanding dengan persediaan Indonesia selama setahun.
"Kami terpaksa berpuas hati dengan pingat perak atas usaha lebih keras oleh pasukan lawan.
"Kami sudah berikan yang terbaik, kami mampu mendahului 3-0 cuma tuah tidak memihak kami," kata pertahanan negara, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan di Nadi Arena.
Nasib yang sama menimpa skuad wanita yang turut menggalas tanggungjawab memastikan pingat emas.
"Kami buat persediaan dalam masa kurang sebulan.
"Malah, kami kesuntukan masa untuk berlatih penalti shoot out.
"Kalau diberikan peluang lagi, kami mahu tebusnya dalam Trofi Juara-Juara Asia.
"Menyedari pasukan lelaki sudah pun tewas, giliran kami pula perlu buktikan kemampuan.
"Kami sudah berjuang dalam keempat-empat suku termasuk kehilangan penyerang akibat kecederaan," kata pertahanan wanita negara, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun.