SUKAN SEA

Sukan SEA Kemboja: Ho Ying beri bayangan bakal bersara

Ammar Hakim 11/05/2023 | 10:40 MYT
Atlet ping pong negara, Ho Ying, sukar menelan hakikat untuk sebuah kekalahan, sampai ke satu tahap atlet itu berasakan mungkin sudah tiba masanya untuk dia lebih membuka ruang buat atlet yang lebih muda.
Melewati prestasi kurang memuaskan bersama dengan kekalahan Malaysia di tangan Thailand dalam usaha merebut emas wanita berpasukan Sukan SEA Kemboja menambahkan lagi perasaan bercampur baur Ho Ying ketika ini.
"Semestinya kami akan kembali terus berlatih untuk meningkatkan lagi tahap permainan kami," kata Ho Ying.
"Setelah lama beraksi, kadang kala saya mahu berhenti kerana saya memiliki perasaan ini selepas mengharungi kekalahan. Ia amat mengecewakan dan sangat sukar untuk menerima kekalahan.".
Enam gangsa untuk enam penampilan di Sukan SEA bagi acara berpasukan, Ho Ying berasakan perjalanannya sudah pun sampai ke penghujung.
"Saya telah meraih gangsa dalam acara ini sejak menyertai Sukan SEA. Perak ini lebih baik daripada keputusan sebelum ini. Saya percaya pasukan saya mahukan pingat emas itu."
Ho Ying mahu menghabiskan tanggungjawab di Sukan SEA terlebih dahulu, mungkin akan ada perkongsian lain sebaik tamat tugasan negara di Kemboja.
Sementara itu, skuad ping pong negara membutirkan satu lagi kilauan perak Sukan SEA Kemboja buat Malaysia menerusi acara lelaki berpasukan sebentar tadi.
Pasukan lelaki negara tidak kesal walaupun tewas kepada Singapura dengan keputusan 3-0 pada aksi akhir kerana mereka telah memberikan tentangan terbaik sehingga mata terakhir.
Turut dikongsikan bahawa mereka akan terus memburu pingat pada acara seterusnya iaitu beregu dan individu.
Yang lebih penting, mereka perlu buat perubahan taktikal agar corak permainan mereka tidak dapat dibaca dengan mudah.
;