Sukan SEA Kemboja: Filipina bukti kejaguhan MLBB
Shaiful Shamsudin
Mei 14, 2023 20:18 MYT
Mei 14, 2023 20:18 MYT
Skuad negara masih belum mampu menggugat juara bertahan Sukan SEA, Filipina, yang terbukti masih mantap menerusi kemenangan 3-0 dalam The Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), sebentar tadi.
Dalam perlawanan pertama, Filipina bermula dengan agresif, secara tidak langsung mengawal arus perlawanan.
Walaupun Malaysia bertahan dengan baik dalam perlawanan kedua dan ketiga, ia masih belum cukup untuk menghalang serangan bertubi-tubi daripada Filipina.
Jurulatih skuad Mobile Legends negara, Khairul Azman Mohd Sharif, mengakui pihak lawan lebih bersedia untuk mengharungi aksi final dan mampu menjangka setiap gerak-geri atlet negara, sekali gus menjadi faktor kekalahan mereka.
"Penggiliran mereka lebih kemas dan mereka dapat jangka gerakan kami.
"Mungkin akibat tertekan, ia mengakibatkan permainan kami tidak begitu sempurna," katanya.