Sukan SEA Kemboja: 34 pingat emas bermaruah -- CDM

Sinar Harian
Mei 20, 2023 11:46 MYT
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Nasir Ali, mengakui kegagalan mencapai sasaran 40 pingat emas menjadi pengajaran berguna buat setiap pemegang taruh terlibat.
Menurut beliau, semua pihak harus memandang kegagalan itu daripada sudut positif dengan kelahiran ramai atlet muda sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA edisi Thailand 2025 dan Malaysia 2027.
“Sukan SEA kali ini memberikan pengajaran besar. Kita tak capai sasaran, boleh bagi bermacam-macam alasan tetapi kita tak boleh nafikan mereka (atlet) mencuba sedaya upaya.
“Namun, kita tak boleh nafikan 34 pingat emas ini adalah berkualiti dan kemenangan yang bermaruah, bukannya menang hanya disebabkan nasib. Kita tak boleh lupakan siapakah pemenang 34 pingat emas ini?
“Kita ada bakat-bakat baharu, contohnya Umar (Osman) acara 400 meter (m) dan pemain golf berumur 15 tahun (Ng Jing Xuen) yang dulu menang gangsa di Hanoi tetapi kali ini berjaya mendapatkan pingat emas,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Jalil pada Jumaat.
Pada masa sama, Mohd Nasir memberitahu, segala apa yang berlaku di bumi Kemboja seharusnya menjadi titik kebangkitan dan membuka mata semua pihak.
“Saya harap langkah seterusnya dapat dilakukan oleh persatuan-persatuan sukan bagi memastikan bakat atlet yang dikenal pasti dapat meningkat ke satu tahap lebih tinggi.
“Umar nak lari 44 saat ambil masa empat hingga lima tahun untuk jadi juara. Apa kita nak buat sebab dia adalah bintang negara sekarang. Adakah hantar dia ke luar negara atau dapat latihan istimewa?
“Ia juga bukan mengenai pemain golf umur 15 tahun (Ng Jing Xuen) menang Sukan SEA tetapi bagaimana kita nak memastikan dia menjadi juara Asia, juara remaja Asia dalam sukan golf,” jelasnya.
Kredit: Sinar Harian
#Sukan SEA Kemboja
;