BOLA JARING
Sukan SEA: Kelajuan Mei Foong aset skuad bola jaring Malaysia
Pemain bola jaring negara, Pow Mei Foong, menegaskan rentak permainan pasukan menjadi keutamaan ketika dia dilabelkan sebagai pemain yang memiliki kelajuan ketara dalam skuad bola jaring negara.
Kelajuan dan gerak tangkas Mei Foong hanya bersifat individu dan hakikatnya dia tetap beraksi mengikut rentak rakan-rakannya yang lain.
Beraksi sebagai satu pasukan, Mei Foong perlu bertoleransi dengan setiap gerakannya dalam gelanggang setiap kali dalam perlawanan.
Mei Foong dilabel sebagai pemain yang memiliki ketangkasan terbaik di posisi tengah, dan kelebihan itu mahu dijadikan sebagai kelebihan untuk dia mengawasi dan merancang pelan mencetus jaringan demi jaringan.
"Saya akan cuba membantu pasukan untuk mengawal permainan serta mengikut rentak permainan yang diterapkan," kata Mei Foong.
Tegas Mei Foong, dia sendiri tidak sabar untuk melunas dendam ekoran kekalahan kepada Singapura dalam saingan final Sukan SEA edisi terdahulu.
Dengan penampilan kali kedua dan kelebihan beraksi di laman sendiri, meraih pingat emas Sukan SEA menjadi keutamaan menjelang kurang 100 hari bermulanya temasya dwitahunan itu.
"Kami mahu memastikan emas milik Malaysia selepas tewas pada dua tahun lepas kepada Singapura. Kami mahu membuktikan kebolehan sebenar kami."