Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Kejayaan Jun Hoong suntik inspirasi -- Marina Chin

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

milo-marina-chin-sukan-sea-210717.jpg
Chief-de-mission Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Marina Chin, menyifatkan kejayaan penerjun negara, Cheong Jun Hoong, muncul juara dunia sebagai inspirasi dan membina momentum kejayaan yang terbaik dalam menuju detik ke temasya dwitahunan itu, bulan depan. 

Jun Hoong meraih pingat emas pertama Malaysia dalam Kejohanan Akuatik Dunia, Persekutuan Renang Antarabangsa ( FINA) 2017 di Budapest, Hungary, menerusi acara 10 meter platform individu, kelmarin. 

Ia kejayaan yang sungguh bermakna, apatah lagi dia juga bakal mengibarkan cabaran dalam Sukan SEA yang berbaki kurang 30 hari lagi.

Kejayaan Jun Hoong itu petanda positif untuk sukan terjun memberi sumbangan emas dalam aspirasi negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA nanti. 

"Seorang lagi rakyat Malaysia telah muncul sebagai juara dunia. 

"Dalam Sukan SEA nanti, saya sangat gembira kerana ia akan memberi inspirasi besar bukan sahaja kepada skuad terjun negara, malah kepada keseluruhan atlet negara. 

"Jika Jun Hoong boleh melakukannya, mereka yang lain juga boleh," kata Marina ketika ditemui dalam majlis sokongan penajaan minuman Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean 2017, Milo, kepada barisan atlet negara, hari ini. 

Pujian juga diberikan kepada sukan-sukan lain seperti memanah, pelayaran dan olahraga yang turut mencipta kejayaan di pentas antarabangsa tatkala Malaysia sedang menghitung detik 14 Ogos ini, apabila Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 membuka tirai saingan. 

"Ia memberi petanda baik sempena Sukan SEA nanti dan saya berharap mereka akan terus memberi fokus sehingga mereka mencapai kemuncak dalam Sukan SEA dan membuatkan kita semua bangga."

Turut dilancarkan kempen Milo tanda sokongan dalam media sosial kepada atlet-atlet negara sepanjang Sukan SEA menerusi #BersatuKitaTeguh. 

Advertisement

Must Watch Video