WUSHU
Sukan SEA: Kehilangan jurulatih tidak jejas skuad wushu negara
Ratu wushu negara, Diana Bong Siong Lin, menegaskan persiapan skuad wushu negara untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti, tidak terjejas meskipun kehilangan jurulatih dari China, Wong Wai Ching.
Wai Ching meleraikan ikatan bersama skuad wushu negara awal bulan ini selepas setahun berkhidmat di Malaysia.
Beliau kembali ke negara asalnya berikutan komitmen bersama Persatuan Wushu China (CWA).
Lima bulan menjelang temasya Sukan SEA, situasi itu tampak memberi tamparan kepada skuad wushu negara.
Begitu pun, Diana enggan cepat melatah apabila tetap optimis terhadap tunjuk ajar jurulatih tempatan.
Pemenang emas tiga kali Sukan SEA itu kini berada di bawah bimbingan Lim Yew Fai dan Tan Ching Fung.
"Saya boleh menyesuaikan diri dengan perkembangan ini.
"Ini kerana bagi acara saya -- nanquan dan nandao -- untuk beberapa tahun kebelakangan ini, setiap tahun kami bertukar jurulatih.
"Secara tidak langsung saya dapat mempelajari aspek teknikal daripada jurulatih yang berlainan.
"Tiada masalah untuk saya berjuang," kata pemenang pingat emas acara nanquan sebanyak tiga kali itu.
Skuad wushu negara kembali ke tanah air minggu lalu selepas berguru selama 23 hari di China.
Selain Diana, sandaran skuad wushu negara untuk kilauan pingat dalam Sukan SEA nanti turut disandarkan di bahu Loh Ying Ting.
"Saya berasa lebih berkeyakinan dengan gaya persembahan sendiri ketika ini.
"Jurulatih di China banyak memberi tunjuk ajar untuk saya memperbaiki gerakan-gerakan saya," kata Ying Ting pula.