Setelah enam hari acara bermula dengan Malaysia mendahului carta pungutan pingat dengan tujuh emas, Sukan SEA Ke-29 yang bertemakan ‘Bangkit Bersama’ dibuka secara rasmi dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berwajah baru dan bermandikan cahaya, malam ini.

Upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 keseluruhannya mempamerkan keunikan kepelbagaian budaya dan bangsa di Malaysia dengan menggabungkan elemen teknologi pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) sebagai tarikan utamanya..

Selepas tamat ucapan ringkas Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC), temasya dwitahunan ini dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Ke-V.

Pembacaan ikrar telah disempurnakan oleh atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh manakala Naib Presiden MOM, Datuk Megat Zukarnain Tan Sri Omardin, menglafazkan ikrar bagi mewakili semua pegawai Sukan SEA Ke-29.

Rimau, maskot rasmi Sukan SEA 2017, kemudian dibawa masuk ke stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton sebelum perarakan masuk atlet dan pegawai negara-negara yang mengambil bahagian.

Kontinjen Malaysia yang diketuai chef-de-mission, Datuk Marina Chin, serta diiringi tiga pembawa Jalur Gemilang, Azizulhasni Awang , Cheong Jun Hong dan Mohd Al-Jufferi Jamari, megah berarak membuat lintas hormat dengan berpakaian baju Melayu merah dan bersampin biru serta berbaju kurung dengan warna yang sama.

Kontinjen negara adalah yang terakhir berarak masuk ke stadium selepas 10 kontinjen negara lain diberi penghormatan mendahului giliran mengikut susunan abjad.


Kemuncak upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 ialah apabila obor temasya dinyalakan oleh penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri.
Turut menyaksikan upacara pembukaan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta jemaah menteri.

Temasya ke-29 ini akan berlangsung sehingga 30 Ogos dengan menghimpunkan 4,900 atlet dari 11 negara sebelum bendera Sukan SEA diserahkan kepada negara tuan rumah berikutnya, Filipina, dalam upacara penutup nanti.