KL2017
Sukan SEA: Hua Wei tidak tergugat dengan prestasi Singapura
Atlet renang berirama negara, Stephanie Gan Hua Wei, tidak gusar dengan cabaran atlet Singapura yang dilihat lebih menyerlah dalam Kejohanan Akuatik Dunia FINA Ke-17 di Budapest, Julai lalu.
Tinggal beberapa hari lagi sebelum Sukan SEA 2017 bermula, acara renang berirama pasti menjadi tumpuan ramai pihak yang mengharapkan pingat emas daripada lima acara yang disenaraikan.
Hua Wei diletakkan sebagai sandaran utama negara selain atlet berpengalaman, Zylane Lee Ying Huey, bagi tiga acara.
Dia bakal menjadi taruhan terbaik negara bagi acara duet teknikal, bebas dan solo teknikal.
"Saya menyasarkan tiga emas. Saya harap akan dapat meraihnya. Saya akan bekerja keras," katanya.
Mengenai cabaran sengit peserta Singapura berdasarkan persembahan lebih baik di Budapest, dia yakin beraksi di laman sendiri akan memberi kelebihan.
Malah, Hua Wei berasakan dia atlet yang lebih matang menghadapi tekanan walaupun akan beraksi dalam acara solo buat pertama kali dalam Sukan SEA.
"Sebenarnya, bukan mudah kerana anda perlu melakukan sendiri kerana tiada pasangan. Anda perlu melakukan persembahan baik secara bersendirian," tambahnya.
Renang berirama akan berlangsung di Pusat Akuatik KL Sports City dari 17 hingga 20 Ogos.
#Sukan SEA 2017
#Kejohanan Akuatik Dunia FINA
#renang berirama
#Stephanie Gan Hua Wei
#Zylane Lee Ying Huey