Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Hua Wei akui tertekan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

15617huawei.jpg
Atlet renang berirama negara, Gan Hua Wei, menganggap bukan tugas mudah menjadi pengganti Katrina Ann Abdul Hadi untuk berpasangan dengan Zylane Lee Yhing Huey buat kali pertama dalam Sukan SEA.

Hua Wei diberi kepercayaan oleh jurulatihnya, Long Yan, untuk bergandingan bersama Zylane bagi acara berpasangan teknikal dan bebas buat kali pertama, 19-30 Ogos ini.

Zylane, yang sebelum ini yang berpasangan bersama Katrina meraih pingat emas di Singapura dua tahun lalu, dianggap atlet senior yang banyak membantu Hua Wei untuk mereka mencipta keserasian.

Namun, sudah tentu ia menjadi satu tekanan untuk atlet berusia 18 tahun itu yang enggan mengecewakan gandingannya dalam misi mengekalkan pingat emas bagi acara berpasangan.

"Sangat tertekan, setiap orang mengharapkan kepada kami untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Sebelum ke Sukan SEA, Hua Wei mahu mempersiapkan diri terlebih dahulu untuk Kejohanan Dunia di Budapest bulan depan di mana dia, Zylane dan Foong Yan Nie sahaja yang akan mempertaruhkan aksi di sana.

"Kami sedang membuat persiapan untuk ke Kejohanan Dunia, pertandingan terakhir sebelum ke Sukan SEA. Terdapat beberapa peningkatan yang dapat dilihat dalam rutin kami," jelas Hua Wei.

Skuad renang berirama negara mencetus kebanggaan apabila menyapu bersih kesemua lima pingat emas dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia. 

Bagaimanapun, berlaku kemerosotan prestasi di Singapura dua tahun lalu apabila mereka hanya meraih satu emas.

Sukan SEA Singapura 2015: 

• 1 Emas: Duet rutin teknikal & rutin bebas 
• 2 Perak: Berpasukan rutin teknikal & rutin bebas dan berpasukan kombinasi bebas.

Sukan SEA Jakarta & Palembang 2011: 

• 5 EMAS: Duet rutin teknikal, duet rutin bebas, berpasukan rutin teknikal, berpasukan rutin bebas & berpasukan kombinasi bebas.

Advertisement

Must Watch Video