Sukan SEA Hanoi: Skuad regu berpasukan sepak takraw tempuh nasib berbeza
Shaiful Shamsudin
Mei 13, 2022 18:55 MYT
Mei 13, 2022 18:55 MYT
THAILAND 3 MALAYSIA 0
Tiba ke Sukan SEA Hanoi sehari sebelum perlawanan, skuad sepak takraw lelaki negara merintis ranjau berliku ketika bertemu Thailand yang mendominasi regu berpasukan sejak Singapura 1993.
Ia menyaksikan Malaysia yang dibarisi tiga pemain senior tekong Zarif Merican Ibrahim Merican, Aidil Aiman Azwawi (apit kanan) dan perejam, Afifudin Razali, untuk regu pertama gagal mendapat rentak dalam set pertama.
Tewas 4-21, anak buah Abdul Talib Ahmad itu bagaimanapun bangkit dalam set kedua apabila beberapa kali berjaya mengimbangi perlawanan sebelum akur kecundang 19-21 kepada lawan.
Regu kedua dan ketiga yang dibarisi pemain muda pula cuba menghadirkan tentangan kepada skuad Gajah Putih dalam aksi berikutnya, namun kehebatan lawan ternyata sukar digugat.
Malaysia tewas dalam kedua-dua perlawanan berkenaan menerusi keputusan 16-21, 11-21 untuk regu kedua dan 9-21 dan 7-21 untuk regu ketiga.
"Kami memang lembab dan teruk kami main tapi dalam set kedua, kami cuba menang tapi agak goyang sikit," kata Afifuddin.
Mereka masih berpeluang untuk menghidupkan peluang apabila bertemu Kemboja (esok) dan Vietnam.
Sementara itu, pasukan berpasukan wanita Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Laos sebelum berentap dengan Vietnam, esok.