Sukan SEA Hanoi: Skuad karate butir emas berganda
Muzaffar Musa
Mei 18, 2022 19:18 MYT
Mei 18, 2022 19:18 MYT
Skuad karate negara membutirkan emas berganda dalam acara Kumite Sukan SEA Hanoi 2021 selepas dua atletnya mengungguli acara masing-masing di Gimnasium Ninh Binh sebentar tadi.
C. Shahmalarani mencipta kejutan dalam penampilan pertamanya apabila memenangi pingat emas acara kumite bawah 50 kilogram wanita selepas menewaskan wakil Thailand, Chanyanut Chippensuk, dalam aksi final.
Dalam pertarungan itu, Chanyanut terjatuh di posisi yang tidak sepatutnya sehingga patah tangan dan tidak dapat meneruskan saingan, sekali gus memberikan kemenangan buat Shahmalarani.
Dalam pada itu, H. Sureeya Sankar turut cemerlang meraih pingat emas acara Kumite bawah 67 kilogram selepas mengetepikan wakil Indonesia dalam final.
Meskipun diberikan tentangan hebat, Sureeya tenang mengawal situasi sebelum menewaskan Tebing Hutapea 5-3 untuk memenangi pingat emas kedua skuad karate dalam edisi kali ini.