Sukan SEA Hanoi: Senyuman jadi azimat emas golf berpasukan lelaki
Shaiful Shamsudin
Mei 18, 2022 16:15 MYT
Mei 18, 2022 16:15 MYT
Laungan 'Malaysia Boleh!' bergema lagi di Heron Lake Golf Course apabila membawa pulang pingat emas kedua dan satu lagi pingat Sukan SEA Hanoi, sebentar tadi.
Skuad berpasukan lelaki negara mengatasi Thailand 2-1 yang menyaksikan K Rhaasrikanesh membenam emas di lubang ke-18.
Pemenang emas individu yang menyaksikan Malaysia mengakhiri kemarau 21 tahun temasya dwitahunan ini dalam golf, Ervin Chang, meletakkan pasukan negara menerusi kemenangan ke atas Weerawish Narkprachar.
Tetapi kemenangan tipis satu lubang Ratchanon Chantananuwat ke atas Marcus Lim kembali mengimbangi kedudukan.
"Saya sedang menuju ke green lubang ke-18 dan pihak lawan dari Thailand sudah pun ada di sana.
"Dia sedang membuat pukulan ketiga dan saya berada di belakangnya.
"Masa rasa itu saya rasa amat gemuruh. Tapi ketika mahu membuat pukulan keempat, terlintas di fikiran sata bahawa pukulan ini akan pastikan emas.
"Pengurus pasukan (Teoh Piek Kee) berpesan supaya saya membayangkan bola berada di dalam lubang itu.
"Jadi saya mencuba dan ia masuk, kita menang emas.
"Sebenarnya sebelum ini saya juga pernah berdepan tekanan seperti ini tetapi dalam acara individu.
"Jadi saya gunakan pengalaman yang ada kerana saya sentiasa mahu menikmati situasi ini jadi saya sentiasa tersenyum walaupun kalah," kata Rhaasrikanesh.
Kem golf tidak diletakkan sebarang sasaran untuk edisi kali ini, apatah lagi untuk mengulangi kejayaan edisi 1989.
Tetapi kunci kejayaan mereka terletak kepada komitmen Persatuan Golf Malaysia (MGA) atas usaha membariskan pemain-pemain.
"Ia membantu kerana kami langsung tidak jangka akan ke final. Masuk ke final juga satu bonus dan kami bermain dengan santai dan akhirnya menang.
"Saya juga gembira bagi pihak Ervin kerana ini mungkin Sukan SEA terakhirnya sebelum beralih ke profesional. Kiranya dia sudah mencapai segala kejayaan.
"Saya juga berterima kasih kepada semua orang terutama pihak persatuan kerana membawa saya dari Amerika Syarikat (AS) dan berikan peluang kepada saya dan akhirnya berjaya memberikan sumbangan," katanya.