Skip to main content

Sepak Takraw

Sukan SEA Hanoi: Sembilan muka baru sertai kem sepak takraw kebangsaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

stl.jpg
Kehadiran ramai pemain muda yang menyinar dalam kancah Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini menyaksikan beberapa muka baru dipanggil bagi menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Seramai sembilan pemain berada dalam radar Persatuan Separtakraw Malaysia (PSM) berdasarkan prestasi mereka dalam saingan itu.

Kesemua pemain muda itu akan menyertai pemain senior bagi membentuk 21 pemain dalam pasukan kebangsaan sebagai persiapan ke Sukan SEA Vietnam pada Mei depan.

Kehadiran pemain baru itu juga bermakna ada pemain senior yang digugurkan daripada skuad kebangsaan seperti tekong, Hairul Hazizi Haidzir (cedera).

Daripada 21 pemain itu, ia akan dikecilkan bagi membariskan 12 pemain terbaik yang akan mewakili negara ke temasya itu.

Dalam satu temu bual Nadi, jurulatih skuad sepak takraw negara, Khairudin Adenan, berkata: "Bagi saya, pemain-pemain baru ini, kita tahu mereka agak kurang daripada segi pengalaman dan pendedahan di luar negara tetapi STL merupakan pentas utama untuk kami mengenal pasti pemain mana yang perlu diketengahkan.

"Jika kami menyimpan pemain-pemain ini, sampai bila baru mereka dapat beraksi di pentas antarabangsa.

"Kalau kita kerap memberikan peluang buat pemain-pemain ini, tidak mustahil mereka dapat dijadikan seperti pemain-pemain senior.

"Kerana kalau dilihat, pemain senior mungkin sudah tidak dapat bermain selepas setahun-dua ini, jadi inilah pemain-pemain baru yang perlu diketengahkan," katanya.

Senarai sembilan pemain baru ke kem kebangsaan:
Redwan Hakim (KL Thunder)
Eqbal Shamsudin (Kelantan Warriors)
Nik Muhammad Afiq Mazlan (Kelantan Warriors)
Zulhusni Basri (Penang Black Panthers)
Zarif Marican Ibrahim Marican (Penang Black Panthers)
Faisal Fuad (Penang Black Panthers)
Haziq Hairul Nizam (Selangor Pistons)
Zuhri Zain (Selangor Pistons)
Asyraab Abd Hadi (Perak Bison)

 

Advertisement

Must Watch Video