Sukan SEA Hanoi: Regu berpasukan negara lenyapkan sorakan tuan rumah
Shaiful Shamsudin
Mei 15, 2022 15:22 MYT
Mei 15, 2022 15:22 MYT
Skuad sepak takraw regu berpasukan negara tidak menghirau sorakan padu di Pusat Sukan Hoang Mai yang diterima wakil tuan rumah untuk mengulangi pencapaian memenangi pingat perak edisi tiga tahun lalu.
Taruhan regu pertama negara yang diterajui Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak mengatasi gemuruh awal untuk memacu kemenangan 2-1 itu sebentar tadi.
Mereka mengatasi Dau Van Hoang, Ngo Huy Long dan Do Manh Tuan dengan straight set 21-15, 21-6.
Kejayaan perak Malaysia dimutlakkan oleh regu kedua, Zarif Merican Ibrahim Merican, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi selepas menang 21-17, 21-9.
Bagaimanapun, regu ketiga yang memasuki fasa pelengkap jadual pula yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Zulhusni Basri dan Redwan Hakim Muhammad tumbang 24-25, 21-23.
Vietnam dan Kemboja berkongsi gangsa sementara Thailand -- yang menewaskan Malaysia dalam perlawanan pembukaan -- dikalung emas.