Sukan SEA Hanoi: Pandelela-Nur Dhabitah pastikan Malaysia sapu bersih emas terjun

Muzaffar Musa
Mei 11, 2022 18:22 MYT
Skuad terjun negara mengotakan janji untuk menyapu bersih seluruh pingat emas yang dipertandingkan sukan itu dalam Sukan SEA Hanoi 2021.
Ini selepas gandingan dua penerjun elit, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, menepati ramalan mengungguli acara 10 meter platform seirama wanita di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Pandelela dan Nur Dhabitah menghimpunkan 292.14 mata keseluruhan, jauh meninggalkan wakil Singapura, Ong Rei En-Ong Sze En, yang muncul pemenang tempat kedua dengan 225.42 mata keseluruhan.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil tuan rumah, Bui Thi Hong Giang-Mai Hong Hanh dengan 185.25 mata.
Sebagai rekod, skuad terjun negara meletakkan sasaran lapan pingat emas untuk menyapu bersih kesemua yang dipertandingkan dalam edisi kali ini, di mana ia dilengkapkan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara terakhir hari ini.
#Pandelela Rinong #Terjun #Nur Dhabitah Sabri #Sukan SEA Hanoi
;