Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Hanoi: Maloney puji usaha skuad B23 bertemu Vietnam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

283058407_701728257567080_804344631205613912_n.jpg
Ketua jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, tetap berbangga dengan anak buahnya yang tidak gentar berjuang walaupun tewas ke atas juara bertahan, Vietnam dalam aksi separuh akhir Sukan SEA ke-31 di Stadium Viet Tri, semalam.

Maloney menjelaskan pasukannya telah memberikan segalanya yang termampu untuk cuba mengatasi tuan rumah yang dikendalikan ketua jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang Seo.

Selepas mengheret perlawanan ke masa tambahan, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 hasil jaringan Nguyen Thien Linh pada minit ke-110 sekaligus terlepas peluang untuk melangkah ke final.

“Pertama sekali saya amat berbangga dengan pemain saya, mereka bekerja keras, bermain dengan hati dan memberikan segala apa yang mereka ada. Seperti yang kita sedia maklum, kami mempunyai masa kurang sehari untuk pemulihan dan perjalanan antara perlawanan ini dengan sebelumnya.

“Jadi untuk pemain turun dan bermain selama 120 minit menentang pasukan terbaik dalam perlawanan ini dan hanya terlepas satu gol...saya sangat berbangga dengan mereka,” katanya.

Maloney turut memberitahu walaupun berdepan corak permainan pantas dan agresif dipamerkan Vietnam selama 120 minit, anak buahnya tidak tunduk kepada tekanan dan berputus asa.

Dia berkata tersingkir daripada pertandingan selepas gawang dibolosi pada penghujung perlawanan adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

“Sukar untuk diterima tetapi pada sama kami faham Vietnam adalah pasukan terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia akan bertemu Indonesia yang tewas kepada Thailand pada satu lagi aksi separuh akhir semalam, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa yang akan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh Ahad ini.

Advertisement

Must Watch Video