TENIS

Sukan SEA Hanoi: Dua bintang tenis sasar pingat buat kontinjen negara

Muzaffar Musa 24/03/2022 | 14:31 MYT
49 hari menjelang Sukan SEA Hanoi pada Mei depan, dua bintang tenis negara, Syed Mohd Agil Syed Naguib dan Jawairiah Noordin, komited dalam misi untuk kembali menjadikan sukan tenis sebagai penyumbang pingat buat kontinjen negara.
Ia selepas skuad tenis negara gagal meraih sebarang pingat dalam Sukan SEA Filipina pada 2019.
Atas faktor itu, dua pemain berpengalaman berkenaan bersedia untuk merealisasikan sasaran pingat gangsa dalam acara beregu campuran seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).
Syed Agil berkata: "Saya akan bermain dalam acara berpasukan, beregu lelaki dan beregu campuran.
"Dalam acara beregu campuran, saya akan bergandingan dengan Jawairiah Noordin, kami sudah lama beraksi bersama dan berkeyakinan dalam acara ini.
"Sebelum ini, kami mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan pingat tetapi Insya-Allah, dalam temasya yang akan datang ini, kami akan bermain dengan lebih baik.
Jawairiah, yang mula bergandingan dengan Syed Agil sejak 2011, menambah: "Pada saya, acara terbaik yang saya yakin adalah beregu wanita dan beregu campuran.
"Untuk beregu campuran kerana saya sudah lama bergandingan dengan Syed Agil, jadi kami boleh memberikan saingan yang terbaik.
"Sasaran kami adalah satu pingat kerana sebelum ini kami tersingkir dalam suku akhir dan hampir layak ke separuh akhir.
"Harapan saya di Vietnam adalah untuk melangkaui pingat gangsa kerana saya sudah ada banyak koleksi pingat gangsa, jadi sama ada perak atau emas," katanya.
#Tenis #Jawairiah Noordin #Syed Mohd Agil Syed Naguib #Sukan SEA Hanoi
;