KL2017
Sukan SEA: Fatin enggan memikirkan sasaran tiga emas
Atlet memanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, enggan terburu-buru memikirkan sasaran mengekalkan tiga pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, bagi mengelak tekanan awal yang boleh menghimpit dirinya.
Fatin meraih tiga pingat emas menerusi acara compound individu, berpasukan wanita dan berpasukan campuran, dua tahun lalu.
Justeru, tugas berat untuk memastikan kejayaan sama mampu berpihak kepadanya sekali lagi di Kuala Lumpur dan memilih untuk tidak terlalu tertekan memikirkan sasaran itu.
Dia yang hanya mara ke pusingan suku akhir di saingan Piala Dunia Shanghai, China, minggu lalu mahu pastikan prestasi terus konsisten sehingga Ogos ini.
"Pada awalnya saya berpuas hati cuma agak kurang berpuas hati ketika memasuki pusingan Olimpik. Saya tahu aksi saya mampu menjadi lebih baik tetapi prestasi saya kurang menjadi.
"Ketika itu cuaca agak berangin tetapi itu bukan alasan untuk tidak memberikan aksi yang lebih baik," jelas Fatin.
Seorang lagi pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki mengakui masa latihan bakal berubah sepanjang bulan Ramadhan kerana tiada sebarang kejohanan sehingga Julai.
Dia dan beberapa atlet dalam program Kita Juara bakal ke saingan Piala Asia di Taiwan, 4 Julai depan.
"Saya akan berlatih lebih awal di sebelah pagi kerana tenaga itu masih ada sementara saya akan memulakan latihan di sebelah petang agak lewat.
"Semuanya saya yang aturkan sendiri jadi agak mudah," kata Juwaidi.