SUKAN LAIN

Sukan SEA: Ervin beri petanda positif skuad golf

Penulis Jemputan 21/07/2017 | 11:33 MYT
Pemain golf lelaki negara, Ervin Chang, memberi petanda meyakinkan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila muncul naib juara Kejohanan Golf Amatur Terbuka Singapura kali ke-70, Isnin lalu.
Ketika harapan diletakkan kepada Galvin Green serta pemain senior, Chan Tuck Soon, pemain muda berusia 19 tahun itu berjaya membuat kejutan.
Berdasarkan catatan 210 pukulan keseluruhan, Ervin ketinggalan enam pukulan di belakang atlet tuan rumah, Gregory Foo, yang muncul juara.
Malah, kejayaan itu melonjakkan Ervin dalam kedudukan ranking golf amatur dunia dari tempat ke-858 kepada 784 dunia.
"Saya mencatat beberapa keputusan memberangsang kebelakangan ini apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Kejohanan Amatur MPI Generali Saujana dan mengakhiri di kedudukan yang sama di Taiwan.
"Pencapaian meraih tempat kedua di Singapura ini merupakan kejayaan terbaik saya sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Saya berjaya mengatasi beberapa pencabar yang bakal dihadapi dalam Sukan SEA dan sudah tentu ia langkah yang baik," katanya.
Situasi berbeza pula buat Galvin yang berasa kecewa dengan pencapaian di Singapura apabila sekadar menduduki tempat ke-43 dan mahu segera memperbaiki kelemahan sebelum kempen pada bulan depan.
"Apa yang penting adalah saya perlu meningkatkan tahap keyakinan dan banyak melakukan latihan pukulan.
"Keputusan dalam beberapa kejohanan sebelum ini menjejaskan keyakinan saya.
"Pukulan jauh saya perlu dilakukan dengan baik secara konsisten," ujarnya.
;