Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Atlet muda jadi sandaran skuad triathlon

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

peter-christopher-lau.jpg
Skuad triathlon negara mempertaruhkan keringat atlet muda dalam memastikan mereka dapat mencipta kejutan menyumbang pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Sepanjang penganjuran temasya itu, acara triathlon hanya tiga kali dipertandingkan, iaitu di Manila 2005, Korat 2007 dan terakhir dua tahun lalu di Singapura.

Ia membabitkan disiplin renang sejauh 1.5 kilometer, 40km berbasikal dan diikuti larian membabitkan jarak 10km.

Kimberley Yap muncul penyumbang emas buat negara dalam kategori wanita pada edisi 2005 serta 2007 manakala atlet berdarah campuran Jepun, Rikiguro Shinozuka, meraih pingat perak bagi saingan lelaki di Singapura.

Seramai 14 atlet lelaki dan lapan atlet wanita sudah pun mengesahkan penyertaan dengan juara bertahan, Nikko Bryan Huelgas serta John Chicano dari Filipina, menjadi tumpuan.

Bagi pengurus triathlon negara, Peter Christopher Lau, program latihan di luar negara banyak membantu meningkatkan prestasi atlet.

Rikiguro serta Irene Chong menjalani latihan di Kanada manakala Zoe Natasha Bowden berada di Phuket, Thailand di samping Ryan Tan yang berlatih bersama skuad triathlon Hong Kong.

Peter turut menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Zoe serta Ryan yang bakal membuat penampilan sulung di medan Sukan SEA.

"Zoe akan berada dalam kelompok lima terbaik. Ketika ini, dia berjaya memperbaiki lariannya tetapi kekuatan utamanya adalah dalam acara renang.

"Ryan memiliki potensi yang baik. Ini adalah kejohanan pertamanya buat Malaysia dan berdasarkan prestasinya ketika ini, dia akan berada dalam kelompok enam terbaik," jelasnya.

Kejohanan Triathlon Asia 2017 di Palembang pada pertengahan bulan ini bakal menjadi penanda aras kemampuan atlet negara berbanding peserta Asia Tenggara lain.

Bagi Rikiguro, sudah pasti impian untuk memburu emas di laman sendiri menjadi misi utamanya.

"Ramai atlet lain yang akan bertanding dan akan memburu pingat tetapi saya berharap saya dapat meraih emas atau sekurang-kurangnya menaiki podium," katanya.

Peter turut berkongsi harapan sama, namun kekal waspada dengan ancaman atlet Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Kita tidak tahu apakah ancaman yang mampu dibawa atlet dari Indonesia dan Thailand. Ini kerana mereka masih menyembunyikan kemampuan sebenar mereka, apatah lagi mereka tidak beraksi dalam kejohanan di rantau Asia," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video